Monday, November 07, 2016

Penunggang Motosikal Maut Kemalangan




KOTA TINGGI 8 Nov.- Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 49.5 Jalan Johor Bahru - Mersing berhampiran Hutan Lipur Panti di sini, pagi semalam.

Mangsa, Nur Hillal Othman, 32 beralamat di Felda Bukit Easter Kota Tinggi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari Kota Tinggi menghala ke Mersing telah melanggar motosikal jenis Demak yang ditunggang mangsa.




Menurutnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke Kota Tinggi dari arah Mersing sebelum berlaku pelanggaran di lorong kanan menghala ke Kota Tinggi.

"Akibat dari kemalangan itu penunggang motosikal yang merupakan pekerja swasta telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HKT. Manakala pemandu kereta berusia 31 tahun hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati motosikal mangsa mengalami remuk teruk keseluruhannya manakala Proton Iswara mengalami remuk bahagian hadapan kanan kereta.

Katanya, kawasan kejadian merupakan jalan dua hala lurus dan terdapat garisan putus-putus di tengah jalan.

"Permukaan jalan kering dan keadaan cuaca baik manakala kawasan persekitaran merupakan kawasan hutan dan ladang kelapa sawit. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Sumber MEDIAKOTA
Foto Kredit - PDRM




No comments:

Post a Comment