Tuesday, November 08, 2016

WASPADA SINDIKET TAWAR BANTUAN KEWANGAN


KOTA TINGGI 8 Nov.- Orang ramai di daerah ini diminta berwaspada dengan satu sindikit penipuan melibatkan sekumpulan individu yang tidak dikenali yang kononnya menawarkan bantuan kewangan dengan berkunjung ke rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, kumpulan itu dipercayai bertindak licik dengan menyakinkan mangsa mereka sebagai individu bertuah kerana terpilih untuk menerima bantuan bulanan.



Menurutnya, modus operandi sindiket itu ialah mensasarkan mangsa dalam kalangan keluarga berpendapatan sederhana, warga emas, bilangan ahli keluarga tidak ramai dan kediaman mereka terasing dengan jiran lain.

"Penjenayah itu akan memilih masa sesuai berkunjung ke rumah mangsa, terutamanya ketika tiada ahli keluarga lain bagi mengelak syak wasangka.

SUPT. RAHMAT OTHMAN
"Terbaharu seorang warga emas berusia 81 tahun dan isterinya menjadi mangsa apabila kerugian wang tunai RM1,700 dan beberapa barang kemas Jumaat lalu," katanya semalam.

Rahmat berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.00 petang di Kampung Mawai Baru di sini dengan kehadiran sekumpulan tiga wanita yang seorang lelaki.

"Mereka akan memulakan dialog menyakinkan yang kononnya mencari keluarga yang layak menerima bantuan kewangan RM1,000 secara bulanan.

"Suspek berpura-pura menemubual dan mencatat segala keterangan diperlukan dan sebagai syarat pemilik rumah mesti mempamerkan barangan kemas sebagai bukti agar permohonan mereka diluluskan oleh majikan mereka.

Dalam masa yang sama seorang suspek telah minta izin untuk mengunakan tandas dalam rumah itu.
Setelah selesai perbincangan, kumpulan itu meninggalkan rumah mangsa, warga emas itu kemudiannya mendapati bahawa wang sejumlah RM1,700 hilang dari dompetnya termasuk beberapa barangan kemas milik isterinya di rumah.

Mangsa  yang kemudiannya menyedari dirinya tertipu dan hartanya dicuri telah membuat laporan polis pada pukul 6.30 petang hari yang  sama.

Sumber : PDRM / MEDIAKOTA



No comments:

Post a Comment